Salam bahagia kawan-kawan semua. Kita bakal melalui hari ini setelah melalui hari-hari semalam dengan penuh dugaan dan ujian. Adakalanya ujian itu terlalu mudah untuk di atasi, adakalanya terlalu sukar sehingga kita terkeliru dan terhimpit tanpa dapat bernafas dan berfikir sempurna.

Itulah bahasa alam. Satu perjalanan hidup yang panjang. Kita sahaja yang seringkali tidak mengerti kerana tidak cuba memahami. Sebagaimana apabila kita kadangkala tidak cuba memahami beberapa persoalan hidup yang kita lihat;

1- Mengapakah ada orang sanggup membongkar tong sampah untuk mencari tin dan kotak?

2- Mengapakah kita menutup hidung apabila terbau baju penoreh getah?

3- Mengapakah kita membenci apabila seorang kanak-kanak berbaju comot merayu meminta wang ketika kita makan di restoran?

4- Mengapakah kita tidak rasa apa-apa atau seronok (?) apabila melihat adegan-adegan panas di tv tempatan?

5- Mengapakah kita lebih senang membeli barang-barang bermutu untuk isteri dan anak-anak dan bukan kepada ibu dan ayah kita?

Semua ini adalah bahasa alam, bahasa kehidupan, cerminan diri apabila kita bereaksi. Orang akan membaca diri kita sebagaimana kita juga membaca diri orang lain.

Usahlah jawab 5 persoalan di atas dengan terburu-buru. Cuma… renungkan dulu kata-kata saya di bawah ini;

1- Pernahkah keluarga anda hidup susah sehingga terpaksa mencari nafkah dengan membongkar sampah? Jika tidak, anda belum mengerti sepenuhnya.

2- Dapatkah anda membezakan rezeki halal yang busuk seperti bau getah ojol dengan rezeki haram yang wangi seperti menjual tubuh badan?

3- Jika anda tidak mahu memberi sedekah sekalipun, usah timbul dalam diri rasa benci (Hadis). Cukuplah menolak permintaan mereka dengan bahasa dan wajah yang manis. Boleh jadi, mereka adalah ujian Allah untuk menguji sifat kasih sayang anda terhadap hamba-hamba-Nya.

4- Apabila sudah biasa melihat, mendengar dan melakukan ia akan dianggap biasa. Begitulah dalam kehidupan.

5- Ketaatan isteri adalah pada suami, ketaatan suami adalah kepada orang tuanya. (Hadis)… tidak kira ibu bapa kandung atau mentua..

Saat ini, fikirkanlah…. alam ini sentiasa berbicara dengan kita. Ada yang berbicara dengan matamu, ada dengan telingamu tapi, jika hatimu keras membatu, bahasa-bahasa itu tidak mungkin di fahami. Walaupun Alam itu yang sedang berbicara adalah ; dirimu kepada dirimu sendiri!

azlan al-hawa