Tak payah rasanya saya menerangkan makna IKLAN TV. Anda semua tahu dan faham. Pedulikan huraian yang berbeza-beza. Apa yang penting ia tetap sama; Iklan adalah Iklan.

Maghrib tadi saya tidak dapat pergi ke surau kerana melayan karenah anak yang kurang sihat sejak 2-3 hari yang lepas. Seketika menonton berita sambil menanti kedatangan budak-budak ngaji, saya melihat iklan di kala senggang waktu berita di TV3.

Iklannya berkenaan produk makanan segera yang baru. Sebelum saya terlupa, petang tadi saya ada juga meluangkan masa melihat rancangan masakan di NTV7. Entah kenapa, saya tidak seperti biasa: Suka menonton rancangan masakan dan suka memerhatikan iklan makanan. Tiba-tiba saya terfikir sesuatu. Sesuatu yang pernah saya fikirkan satu masa dulu.

Saya terfikir tentang penonton. Siapakah selain saya yang melihat iklan dan rancangan masakan ini? Saya terfikir ; apakah yang penonton lain mungkin alami/fikirkan ketika menonton iklan@rancangan ini?

MUNGKIN BEGINI YANG DIFIKIRKAN….

  • S: Mengapakah iklan ini ditayangkan?
  • J: Supaya menarik orang membeli produk ini.
  • S: Siapakah yang mampu beli produk ini?
  • J: Mereka yang ada duit lebih.
  • S: Bagaimana pula jika orang miskin / tak ada duit yang melihat iklan@rancangan ini?
  • J: Mereka tengok ajelah.
  • S: Bagaimana kalau anak mereka menangis…. “Mak! Nak makan macam tu.” Apa nak jawab?
  • J: Jawab ajelah. “Mak takde duit nak. Banyak lagi benda lain yang lebih penting nak beli. Susu adik kamu lagi. Beras pun nak habis. Kita ni orang susah nak, makanan macam tu bukan untuk kita.”

Itulah pemikiran saya. Banyak lagi sambungannya dan masih boleh dipertikaikan. Terpulanglah kalau nak pertikaikan.

Ibarat membeli kereta. Adakah kerana mahu menjaga hati jiran yang hanya ada motor, maka kita tidak boleh (nota: tapi tentulah tidak sampai haram) memiliki kereta? Tentu sekali pertimbangan jawapannya tidak sekadar menjaga hati tetapi lebih kepada keperluan kita memiliki kereta. Ini persoalan KEPERLUAN, KEMAHUAN dan KEMAMPUAN.

Bagaimana pula dengan membeli barang perhiasan diri, atau perabut mewah, atau handphone mahal, atau pakaian berjenama…. Perlukah ada pertimbangan; Menjaga Hati Orang Lain.

Anda akan menjawab dengan pelbagai jawapan. Baiklah simpan jawapan anda. Lihat pula catatan saya berdasarkan sumber beberapa kuliah ustaz saya dulu-dulu di bawah;-

Apabila seorang Islam ingin menambah bangunan rumahnya, sehingga menghalang angin sampai ke rumah jirannya yang lebih rendah atau kecil, dia harus meminta izin kerana rumahnya memang haknya tetapi angin hak bersama.

Seorang Islam yang ingin mencapai tahap Sikah (menjaga agama) harus mengelakkan diri makan di kedai makan di tepi jalan. Kerana apabila lalu orang miskin, mereka akan kecewa dan hampa kerana keadaan diri mereka yang tidak mampu dan keadaan mereka yang sedang makan melupakan kelaparan mereka. Hal ini dikecualikan bagi mereka yang sentiasa memberi kepada orang miskin yang lalu di sebelahnya, ketika makan.

Nah!! Cubalah anda pula berfikir. Memanglah kita akan sentiasa mengungkapkan 3 kalimah Agung. Perlu, Mahu dan Mampu. Macam nak poligami pun sama. Aku Perlu. Aku Mahu. Aku Mampu….tapi saya bukan nak biacarakan tentang poligami. Saya bicarakan soal Orang Kaya dan Orang Miskin.

jika anda berada di kedudukan Mampu!!, usahlah anda lupakan bahawa ada yang Tidak Mampu!!…walaupun mereka juga PERLU!! dan MAHU!! seperti anda.

Fikir-fikirlah. Mudah-mudahan kita dalam jalan pemikiran yang benar.