Assalamualaikum.

Kehadapan rakan-rakanku yang dikasihi Allah. Mudah-mudahan kalian berada dalam lindungan kasih-sayangnya jua. Saya di sini sentiasa mendoakan agar kita dapat berjumpa lagi dan berbual panjang sebagaimana dulu. Namun, apakan daya; masa telah membataskan kita, namun pertemuan di kala ini melalui ruang yang ada sudah cukup beerti buatku.

Rakanku,

Pada pagi yang hening ini, entah kenapa malam tadi aku terasa sukar untuk melelapkan mata. Mungkin kerana badan yang kurang sihat dan pantas aku menyalahkan makanan yang ku makan waktu selepas Maghrib bersama penceramah jemputan. Walhal, banyak lagi asbab yang boleh ku cari untuk menyalahkan kesakitan yang ku alami.

Sehinggalah pagi ini, selepas aku menunaikan solat subuh, aku terfikir sendiri, apakah kesakitan ini petanda ‘Allah ingin menunjukkan kekuasan-Nya?’. Benar, inilah kekuasaan-Nya.

Lantaran itu, aku teringat kata-kata penceramah malam tadi. ‘andai engkau tidak mampu berbuat baik pada orang, maka janganlah engkau berbuat jahat kepada orang.’

Rakanku,

Aku ingin berbicara panjang dengan kalian, namun aku ada tugas yang harus diselesaikan awal pagi ini. Ku titipkan doa buat kalian dan keluarga agar sentiasa mendapat kebahagiaan dan perlindungan daripada Allah jua.

Salam dari jauh,

Azlan Al-Hawa