Mei 2008


Setiap pengalaman ada pengajaran tertentu. Ia seharusnya menjadi guru kepada tindakan-tindakan kita tika ini. Namun aku sendiri kadangkala terleka dan membiarkan pengalaman-pengalaman hidup itu bersendirian. Kini aku ingin membawa kembali setiap kenangan yang punya erti agar setiap masa yang tersusun bait-bait pengalaman itu dapat berkongsi dengan kalian.

~~~

Aku coretkan di sini sebahagian sajak-sajak yang pernah aku cipta dan reka untuk menggambarkan sesuatu ataupun seseorang yang telah menjadi sebahagian hidupku. Ia terangkum dalam koleksi sajak : Satu Kisah Yang Panjang ~ Edisi 2000-2001.

Suara Hatiku-4

Perjalananan hidup ini

rupanya bukan mudah

pertimbangan dan kehampaan

bagai satu kemestian

dalam setiap keputusan

pasti ada yang kecewa

demi membahagiakan orang lain

rela dirinya menderita

mungkin ini pengorbanan sejati

lahir dari hati yang mengerti

bahawa tidak semua bertemu

apa yang sebenarnya dicari

kadangkala bersua di dalam mimpi

dan hilang di awal pagi

bagai embun nan kering

hilang di sapa mentari

(–> sajak ini tidak dapat dihabiskan pada masa dicipta <–)

28 JUN 2001 / KUSZA

Jika anda hanya ingin mengajar, cukup anda terangkan dan fahamkan atau hafalkan murid-murid anda dengan ilmu yang anda sampaikan. Tetapi jika anda berhasrat mendidik mereka, terapkanlah dalam pengajian anda akhlak-akhlak yang baik walaupun anda bukan orang yang sangat baik.

Anda tidak ada idea atau kurang faham maksud saya? Tak apa. Saya cuma maksudkan terapkanlah unsur didikan kepada anak-anak walaupun ketika mereka memakai baju, makan, ke tandas, masuk tidur dan sebagainya. Tentu sekali didikan yang saya maksudkan ialah didikan agama.

Mulakanlah sekarang, kerana mereka boleh jadi penyelamat kita di akhirat kelak. Dan!! Boleh jadi mereka yang menyebabkan kita masuk ke dalam neraka kerana salah didikan….

“Ya Allah..Jauhkanlah kami dan keluarga kami daripada menjadi makhluk kemurkaan-Mu dan jauhkanlah kami semua daripada azab kubur dan api neraka..Tunjukkanlah kepada kami setiap jalan kebaikan. Tutupkan hati dan fikir kami pada jalan kejahatan. Berikanlah kami kekuatan mengerjakan setiap kebaikan dan lemahkanlah kami tika kami ingin melakukan kejahatan. Amiin…”